Sunday, May 07, 2006

proses pembentukan malaysia

Proses Pembentukan Malaysia
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC),1961
Pada 23 Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia(MSCC) ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Jawatankuasa ini berperanan untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada orang ramai terutamanya di Borneo dan mengumpul pelbagai pandangan tentang Malaysia di Tanah Melayu, Singapura dan Borneo. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.

-----another table here-Anggota Perwakilan Dalam Majlis Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC)------


MSCC ingin melihat gagasan Malaysia menjadi kenyataan dan kerana itu mereka berusaha mencapai permuafakatan. Mesyuarat dan rundingan telah diadakan sebanyak empat kali di
a. Jesselton(21 Ogos 1961)
b. Kuching (18 Disember 1961)
c. Kuala Lumpur (6 Januari 1962)
d. Singapura (1 Februari 1962)

MSCC juga telah menyediakan memorandum yang berasaskan Perlembagaan Tanah Melayu dan menyatakan
a. Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan Islam dijadikan agama rasmi
b. Setiap rakyat diberi kebebasan agama
c. Sabah dan Sarawak diperuntukkan beberapa keistimewaan seperti dalam bidang imigresen untuk mengawal kemasukan orang ramai ke wilayah itu
d. Kedudukan istimewa kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dikekalkan
e. Perwakilan dalam parlimen adalah berdasarkan jumlah penduduk serta keluasan sesebuah kawasan

Suruhanjaya Cobbold
Satu suruhanjaya dibentuk untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya ini dinamakan Suruhanjaya Cobbold sempena nama mengerusinya, Lord Cobbold.

Ahli suruhanjaya
o Lord Cobbold
o Sir Anthony Abell
o Sir David Watherston
o Mohd. Ghazali bin Shafie
o Wong Pow Nee


Bidang Tugas
o Meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak tentang rancangan penubuhan Malaysia
o Menilai kesemua pandangan yang diberi
o Membuat syor-syor yang bersesuaian


Suruhanjaya ini menjalankan penyiasatan selama 2 bulan iaitu dari 19 Februari hingga 18 April 1962 . Laporan Suruhanjaya Cobbold dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan British pada bulan Jun 1962. Laporan ini mengesahkan bahawa 80 % penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia iaitu
a. ⅓ menyokong pembentukan Malaysia tanpa mengambil kira syarat-syarat percantuman
b. ⅓ lagi setuju dengan pembentukan Malaysia dengan pelbagai syarat dan jaminan yang mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak.
c. Baki ⅓ pula terbahagi kepada 2 bahagian iaitu pihak yang mahukan supaya kedua-dua negeri merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia dan mereka yang mahu British terus memerintah untuk beberapa tahun lagi.

Penduduk yang menentang pembentukan Malaysia dengan apa jua syarat adalah hanya 20% daripada keseluruhan penduduk di Sabah dan Sarawak. Antara syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Cobbold adalah:
a. Persekutuan yang bakal ditubuhkan dinamakan “Malaysia”
b. Sabah dan Sarawak mempunyai ketua negeri mereka sendiri
c. Majlis perundangan Sabah dan Sarawak diberi kuasa menentukan dasar agama dan imigresen
d. Peraturan-peraturan kewangan akan diadakan bagi tujuan pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak
e. Kedudukan bumiputera dikekalkan.
f. Sabah dan Sarawak diberi bantuan kewangan bagi pembangunan ekonomi untuk tempoh lima tahun pertama selepas menyertai Malaysia

Pada 1 Ogos 1962, kerajaan British dan Tanah Melayu mengumumkan bahawa kedua-dua kerajaan menerima dengan sebulat suara hampir semua cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold dan menetapkan Malaysia ditubuhkan pada 31 Ogos 1963 kerana hari kemerdekaan Tanah Melayu jatuh pada tarikh yang sama. Sabah dan Sarawak juga setuju dengan tarikh tersebut. Seiring dengan itu, satu Jawatankuasa Antara Kerajan (JAK) dibentuk.

Jawatankuasa Antara Kerajaan(JAK)
JAK dibentuk untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia di samping melindungi hak serta kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak. JAK diketuai oleh Lord Landsdowne sebagai pengerusi, Dato’ Abdul Razak sebagai timbalan pengerusi serta wakil-wakil daripada kerajaan British, Singapura, Sabah dan Sarawak.

JAK menerima pandangan daripada pelbagai pihak, khususnya dari Sabah dan Sarawak tentang kedudukan kedua-dua negeri tersebut dalam Persekutuan Malaysia. Wakil-wakil dari Sabah menghantar satu memorandum yang mengandungi 20 Perkara untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat Sabah. Walaupun para pemimpin Sarawak tidak menghantar sebarang tuntutan, tetapi mereka bersetuju dengan perkara ynag terkandung dalam Tuntutan 20 Perkara.

JAK mengeluarkan laporannya pada bulan Februari 1963. Laporan itu dibincangkan dalam Majlis Negeri Sarawak pada 8 Mac 1963 dan diikuti oleh Sabah pada 13 Mac 1963 sebelum dibentangkan dalam Persidangan Parlimen Tanah Melayu dan diluluskan sebagai Akta Malaysia, 1963

-----table:Antara beberapa perkara penting dalam Tuntutan 20 Perkara Sabah dan laporan Jawatankuasa Antara Negeri-----

Laporan JAK menjadi asas kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di London pada 8 Julai 1963. Menerusi perjanjian itu, kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak yang akan bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu melalui pembentukan Malaysia.

Pungutan Suara Di Singapura
Pungutan suara atau referendum yang diadakan pada 1 September 1962 bertujuan untuk menentukan syarat-syarat yang dipersetujui oleh penduduk Singapura untuk bercantum dengan persekutuan Tanah Melayu dan bukannya bermakna penduduk Singapura berpeluang menolak rancangan Malaysia. Pengundi diberi tiga pilihan iaitu
a. Pilihan A – percantuman yang memberikan Singapura kuasa autonomi dalam buruh, pelajaran dan perkara-perkara lain dan dengan sendirinya rakyat Singapura menjadi rakyat Malaysia
b. Pilihan B – percantuman penuh tanpa syarat bagi Singapura sebagai negeri yang sama taraf dengan 11 buah negeri-negeri Melayu yang lain
c. Pilihan C – percantuman dengan syarat-syarat yang sama seperti yang diberikan kepada wilayah-wilayah Borneo.

Semasa pungutan suara dijalankan, Barisan Sosiolis (Socialist Front) meneruskan tentangan dengan meminta penduduk Singapura untuk memulangkan kertas undi kosong sebagai tanda bantahan. Kerajaan Singapura menegaskan bahawa sesiapa yang memulangkan kertas undi kosong dianggap sebagai orang yang belum membuat keputusan. Oleh itu, undi mereka ditakrifkan mengikut Artikel 29, Ordinan Pungutan Suara yang menyebut bahawa sesiapa yang memulangkan kertas undi kosong tanpa ditanda dianggap sebagai bersetuju dengan sebarang keputusan Majlis Undangan Singapura.

hasil referendum ini mendapati
- 397626 penduduk menyokong pilihan A - 7911 penduduk penyokong pilihan C
- 9422 penduduk menyokong pilihan B - Sebanyak 144077 undi rosak

Sumber: Department of Information Malaysia 1963. Malaysia in Brief. Kuala Lumpur: Department of Information Malaysia

No comments: